Pages

Khamis, 24 Jun 2010

CERAPAN GERHANA BULAN SEPARA - AYUH ke MASJID SSAAS

Fenomena Gerhana Bulan Separa
Gerhana Bulan Separa pada 26 Jun 2010 (Sabtu) ini akan bermula dengan fasa penumbra (P1) pada jam 04.57 p.m waktu Malaysia. Walaubagaimanapun, semasa fasa penumbra ini berlaku, kesan penampakan gerhana masih tidak dapat diperhatikan memandangkan Bulan merentasi bayang penumbra Bumi yang kurang gelap dan kebetulan juga pada waktu itu Bulan masih belum terbit lagi dari ufuk.

Fenomena tersebut hanya dapat disaksikan apabila bulan mulai terbit pada jam 7.22 p.m dan bulan telah pun memasuki bayang umbra Bumi (U1) sejak jam 6.17 p.m lagi. Gerhana maksimum akan berlaku pada jam 7.38 p.m. Fenomena ini akan dapat disaksikan sehingga jam 9.00 p.m apabila Bulan keluar sepenuhnya dari umbra Bumi (U4).

Gerhana masih terus berlaku sehingga 10.20 p.m tetapi fenomena tersebut tidak dapat disaksikan pada waktu itu kerana Bulan berada di kawasan bayang penumbra Bumi yang kurang gelap.

Sehubungan itu, Jabatan Mufti Negeri Selangor dengan kerjasama Persatuan Falak Selangor dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam akan mengadakan Program Cerapan Gerhana Bulan Separa dan Solat Sunat Gerhana Bulan bertempat di Dataran Letak Kereta Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bermula jam 7.00 p.m sehingga jam 10.00 p.m. Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi menunai solat sunat gerhana dan menyaksikan fenomena gerhana tersebut.

Sumber: www.selangor.gov.my

Sabtu, 19 Jun 2010

Meneroka Budaya Ilmu

Salam mahabbah semua, sedikit perkongsian daripada saya pada entry kali ini berkenaan dengan buku Budaya Ilmu - Satu Penjelasan. Buku ini adalah cadangan yang diberikan oleh seorang rakan saya yang amat saya hormati dek kerana kecekapannya dalam bekerja dan ilmu yang dimilikinya. Dengan menggunakan perkhidmatan percuma Encik 'Google Search', saya mendapatkan info berkenaan buku tersebut. Sangat menarik!


PENJELASAN BUDAYA ILMU

(Oleh: Wan Mohd Nor Wan Daud)
Diulas oleh: Kelana
Sept09
‘Penjelasan Budaya Ilmu’ membicarakan satu perkara pokok dan asas dalam pembangunan diri insan, masyarakat dan tamadun. Buku ini mengandungi takrifan yang dinamik dan penuh implikasi tentang budaya ilmu dan perkara-perkara bersangkutan dan harus disemai dan disuburkan dalam diri dan masyarakat kita. Buku ini menyelami lautan sejarah pelbagai bangsa dan tamadun. Islam dan yang bukan Islam, dari zaman kuno sehingga ke zaman kini. Penulis juga ada memaparkan kisah-kisah dan nilai-nilai utama yang dapat dimanfaatkan. Gagasan pengIslaman ilmu yang dipercayai sebagai wadah utama bagi penmanfaatan ilmu dari setiap sumber, dihuraikan dan dipaparkan sejarahnya buat kali pertama. Sehubungan dengan ini, sejarah dan perkembangan tradisi keilmuan di Alam Melayu, khasnya di Malaysia, diselidiki. Peranan pemimpin politik, pentadbir, para cendikiawan dan guru serta ibu bapa juga dikaji dalam pembinaan budaya ilmu. Buku ini mengandungi enam (6) bab, iaitu :

1) Budaya Ilmu dan Tamadun
2) Konsep Budaya Ilmu
3) Sistem Nilai Budaya Ilmu dan Jelmaan Sejarahnya
4) Islamisasi Ilmu
5) Budaya Ilmu di Malaysia
6) Pelaksanaan di Malaysia

BAB 1 : Budaya Ilmu Dan Tamadun

Penulis telah menghuraikan bahawa pembinaan budaya ilmu yang bersepadu dan jitu merupakan prasyarat awal dan terpenting bagi kejayaan, kekuatan dan kebahagiaan seseorang dan sesuatu bangsa. Seseorang individu atau sesuatu bangsa yang mempunyai kekuasaan atau kejayaan tidak boleh mempertahankan miliknya, apatah lagi mengembangkannya tanpa budaya ilmu yang baik. Malah dia akan bergantung kepada orang atau bangsa lain yang berilmu. Segala unsur harta dan takhta bukanlah merupakan ciri sebati dengan diri seseorang atau bangsa malah ia boleh memeluk atau menganut nlai dan ciri tamadun lain jika tidak ditunjangi oleh budaya ilmu yang baik. Penulis menjelaskan bahawa bangsa yang tidak besar jumlahnya boleh memberi pengaruh yang besar kepada bangsa lain yang lebih besar dan kuat. Beliau juga telah menghuraikan enam (6) budaya ilmu mengikut bangsa iaitu :

1) Budaya Ilmu Yunani
2) Budaya Ilmu Yahudi
3) Budaya Ilmu di China dan India
4) Budaya Ilmu di Barat
5) Budaya Ilmu Islam
6) Budaya Ilmu di Jepun

BAB 2 : Konsep Budaya Ilmu

Budaya ilmu bermaksud wujud satu keadaan setiap individu atau masyarakat melibatkan diri dalam kegiatan keilmuan bagi setiap kesempatan. Setiap tindakan diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengkajian atau syura. Selain itu, ia juga tidak mengiktiraf sifat jahil, bebal dan anti ilmu. Dalam zaman moden ini, makna ilmu telah disempitkan kepada pengetahuan tentang maklumat dan kemahiran sahaja. Misalnya di Barat, mereka berpegang teguh kepada kaedah sains iaitu ilmu yang hanya merujuk kepada fakta. Pada pandangan mereka ajaran agama telah terkeluar daripada takrif ilmu kerana agama dianggap sebagai kepercayaan atau dugaan semata-mata. Mereka ini tergolong dalam mazhab empirisisme yang didokong oleh tokoh seperti John Locke, David Hume, Herbert Spencer dan lain-lain. Mazhab rasionalisme juga menumpukan penekanan terhadap prinsip kekal yang diperolehi melalui akal rasional atau agama. Tokoh yang mendokong mazhab ini adalah seperti Socrates, Plato dan Descartes. Pertentangan antara dua mazhab ini yang mempunyai pengaruh dalam sejarah agama dan pemikiran Barat telah ditangani oleh golongan pragmatis seperti Charles S. Peirce, William James dan John Dewey. Ilmu dalam perspektif Islam dikenali sebagai sifat, proses dan hasil yang meliputi pelbagai perkara dan bermaksud al-Quran, syariah, sunnah, iman, kerohanian, hikmah, makrifat, sains dan pendidikan. Setiap manusia yang berilmu akan berdiri teguh di atas keyakinan dan kebenaran yang dimiliki untuk melakukan keadilan. Oleh itu, budaya ilmu bukan sekadar kesungguhan memahami, mendalami dan menghayati sesuatu bidang ilmu malah menjelmakan sifat keilmuan yang pelbagai bidang dan merentasinya. Sifat seperti ini harus disemai dalam diri setiap anggota masyarakat dan negara.

BAB 3 : Sistem Nilai Budaya Ilmu dan Jelmaan Sejarahnya

Pembinaan budaya ilmu dan tamadun yang lahir daripadanya merujuk kepada sistem nilai, pandangan dunia dan idealisme sesebuah sistem sosial serta individu di dalamnya. Prinsip asas pembinaan budaya dan tamadun ilmu yang bersepadu ialah konsep dan realiti tuhan, konsep manusia dan alam semesta. Nilai yang harus dimiliki oleh sesuatu budaya ilmu itu adalah :

a) Kepentingan ilmu
Meletakkan ilmu sebagai kebaikan utama dan asas bagi segala kebaikan lain. Nilai ini akan melahirkan sikap memberatkan pendidikan sebagai kaedah utama untuk menanamkan sikap memuliakan ilmu, menuntutnya dan terus menghayatinya seumur hidup

b) Berkekalannya usaha ilmiah
Setiap usaha dan hasil yang berteraskan ilmu mestilah bersifat kekal di mana apa jua usaha menemukan kebenaran dan melaksanakan keadilan merupakan sumbangan dan amal kebajikan bagi diri sendiri dan manusia

c) Berterusannya usaha keilmuan – dari buaian ke liang lahad
Usaha keilmuan mestilah menjadi usaha sepanjang umur kerana setiap manusia akan melalui pelbagai jenis tanggungjawab sepanjang hayatnya yang memerlukan ilmu untuk melaksanakan dengan sebaik-baiknya.

d) Nilai kepimpinan
Kepimpinan dalam masyarakat adalah faktor penting dalam menjamin pembinaan dan penyuburan budaya ilmu. Penggubalan polisi awam, pengagihan peruntukan, latihan yang boleh membina dan meneguhkan budaya ilmu memerlukan sokongan satu kumpulan bukan individu pemimpin yang berbudaya ilmu

e) Sikap homat-kritis
Keberanian mencari kebenaran dengan menimba dan memperbaiki hasil pemikiran manusia terdahulu dan semasa. Sikap hormat kepada cendiakawan tidak sepatutnya menyekat seseorang untuk terus memperbaiki hasil pemikiran mereka.

f) Kesinambungan tradisi ilmu
Budaya ilmu bermaksud mempunyai kepekaan dan kesedaran tentang kepentingan kesinambungan atau sejarah ilmu dan keilmuan. Ini kerana ilmu tidak terbatas dan manusia tidak mampu menghabiskan tenaga dan masa utuk sentiasa bermula dari bawah.

g) Syura
Proses syura merupakan penjelmaan ciri budaya ilmu di mana seseorang itu tidak mampu mengetahui semua perkara yang diperlukan untuk hidup. Oleh itu, bermusyawarah adalah diperlukan dalam hal yang berkaitan dengan kebaikan orang ramai di samping itu ia mencerminkan umat Islam yang sebenar.

h) Pengiktirafan peranan wanita
Kaum wanita merupakan lebih kurang separuh daripada umat manusia dan yang paling hampir dengan anak-anak dan remaja. Mereka memainkan peranan yang besar dalam menentukan kejayaan pembinaan budaya ilmu dan ketinggian tamadun manusia. Islam meletakkan tanggungjawab yang sama ke atas lelaki dan wanita untuk mencari ilmu dan melaksanakan tugas sebagai khalifah dan hamba Allah di bumi ini.

BAB 4 : Islamisasi Ilmu

Pemupukan budaya ilmu di peringkat individu atau masyarakat akan menghadapi persoalan dasar yang telah dirasai oleh dunia yang sedang membangun dalam bidang pendidikan iaitu penanaman semula benih pendidikan Barat. Ia mencerminkan penanaman semula yang tidak sempurna dengan sedikit perubahan dari segi perpindahan tempat pemusatan dari penjajah ke tempatan. Pemupukan budaya ilmu mengharuskan kita menfaatkan ilmu daripada semua sumber. Sepanjang sejarah umat Islam, telah berjaya melaksanakan pemanfaatan ilmu daripada pelbagai sumber dalam suasana psikologi yang kuat kerana kehebatan kedudukan ilmu dan tamadun Islam ketika itu. Para pemikir dan ilmuan Islam sentiasa berusaha menyebatikan idea daripada tamadun lain dengan ajaran Islam dan telah membawa hasil yang membanggakan. Ahli falsafah seperti al-Kindi, al-Farabi, Ibn Sina dan lain-lain telah memasukkan ajaran Islam dalam sistem falsafah mereka yang banyak diperolehi dari faksafah Yunani.

Dalam sejarah intelektualisme Islam moden, gagasan Islamisasi ilmu adalah gagasan yang paling hebat dan mempunyai kecemerlangan ilmu kreatif Islam masa depan. Ini adalah kerana pada ketika itu, umat Islam tidak mampu menangani ilmu moden dengan adil terutama dari Barat yang mempunyai kejayaan ekonomi dan teknologinya yang hebat. Islamisasi menurut Dr. Gaafar Syeikh Idris adalah usaha terancang dan beransur-ansur yang akan menghasilkan satu masyarakat yang berpegang teguh kepada keseluruhan ajaran Islam dalam semua aspek kehidupan masyarakat. Menurut penulis, Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas adalah tokoh Islam pertama yang mentakrifkan dengan jelas konsep proses Islamisasi iaitu “Islamisasi adalah pembebasan manusia daripada tradisi tahyul, mitos, animis, kebangsaan dan kebudayaan, akal serta bahasa dari pengaruh sekularisme”. Pemusatan proses Islamisasi menurut beliau tidak pada politik atau masyarakat tetapi pada akal dan diri manusia yang berkewajipan mengetahui dan bertindak dengan adil dan hikmah. Oleh itu, Islamisasi ilmu adalah sesuatu kewajipan, fardu ‘ain bagi setiap cendiakawan Islam yang terlibat dalam sesuatu disiplin ilmu.

BAB 5 : Budaya Ilmu di Malaysia

Kedatangan Islam di Kepulauan Melayu merupakan satu titik permulaan bersejarah dalam peningkatan akal budi orang Melayu. PengIslaman Kepulauan Melayu dikatakan bermula sejak pedagang Islam berbangsa Arab dan Parsi melarikan diri ke Kedah disebabkan keganasan Maharaja China, Hi-Tsung (878-889 M) di Khanfu. Wadah penyebaran Islam di rantau ini berlaku melalui tasawuf. Islam telah mengubah dasar pandangan dunia orang Melayu dan mengubah bahasa, pemikiran dan aspek-aspek sosio-budayanya. Mana-mana yang tidak secara terang bercanggah dengan ajaran Islam dibiarkan begitu sahaja. Di Indonesia menurut Profesor Mahmud Yunus, ilmu agama Islam diajarkan di madrasah, masjid, rumah dan di tepi perigi. Pengajaran kebanyakannya dijalankan melalui pendengaran kerana teknologi penulisan masih baru dan budaya ilmu secara bertulis tidak tersebar luas di Alam Melayu. Ia terbatas kepada golongan berada dan istana seperti Tun Seri Lanang, Ibn Battuta dan lain-lain. Setelah Kesultanan Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, Kesultanan Acheh telah menjadi pusat keilmuan, kerohanian, intelektualisme, kebudayaan dan perniagaan terpenting di Kepulauan Melayu. Pemimpin Acheh seperti Sultan Ala al-Din Ra’ayat Shah, Sultan Iskandar Thani dan Sultanah Taj al-‘Alam Safiyah al-Din Syah telah memainkan peranan penting dalam pengembangan berbagai ilmu keIslaman di rantau ini. Manakala cendiakawan-cendiakawan Islam yang telah mengembangkan budaya ilmu di sini adalah Nuruddin al-Raniri, Muhammad al-Hamid, Hamzah Fansuri, Abdullah Abdul Kadir Munsyi dan sebagainya.

Tamadun ilmu di Kepulauan Melayu pada zaman keagungannya mempunyai perbezaan yang nyata daripada apa yang tersebar di Timur Tengah, Sepanyol, Utara Afrika dan India. Ilmu yang banyak dibincangkan pada masa itu terhad kepada ilmu agama dan tasawuf sebagai memenuhi tuntutan ibadat seperti ilmu astronomi, ilmu hisab dan ilmu alam. Peranan Islam dalam pembinaan budaya ilmu di Malaysia adalah sangat ketara di mana ia telah mempunyai dasar dan potensi besar untuk disuburkan. Awal abad ke 20 telah membawa kesedaran betapa pentingnya pendidikan yang tersusun dan teratur untuk bangsa Melayu. Kesedaran ini telah memperlihatkan tiga aliran berasingan iaitu aliran agama tradisional, aliran pendidikan sekular berbahasa Melayu dan aliran sekular berbahasa Inggeris. Keadaan pemodenan dan pendidikan sekular tidak banyak berubah sehinggah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Namun tujuan dan falsafah pendidikan hanya memberi tumpuan kepada melahirkan tenaga kerja bagi memenuhi tuntutan sebuah negara baru merdeka. Ilmu telah ditinggalkan dalam perkiraan nilai atau objektif utama pendidikan negara dan pembinaan program perubahan jentera kerajaan. Kedudukan ilmu sebagai satu perkara penting masih belum dapat menjelma dalam program pembangunan pengiktirafan terhadap golongan ilmuan dan belanjawan institusi masyarakat dan negara. Pengiktirafan kepada usaha yang disumbang oleh ilmuan seperti pendidik adalah masih rendah lagi. Menurut penulis, tujuan pengiktirafan adalah untuk menimbulkan rasa hormat kepada tugas pendidik dan menimbulkan semangat serta komitmen kepada golongan pendidik masa kini.

BAB 6 : Pelaksanaan di Malaysia

Bagi negara yang baru merdeka seperti Malaysia, golongan politik yang bertugas di peringkat tinggi dan pentadbir memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan iklim budaya dan arah pembangunan bangsa. Bagi golongan politik, tindak-tanduk dan kenyataan mereka memberikan implikasi besar terhadap kehidupan rakyat dan negara bagi semasa serta masa hadapan. Tetapi golongan ini tidak mempunyai latihan khusus dalam bidang yang berpengaruh ini. Walaubagaimanapun, mereka mempunyai latihan profesional dalam bidang tertentu seperti bidang guaman, perguruan, kedoktoran dan lain-lain lagi yang sedikit sebanyak mempunyai pertindihan dengan ilmu politik dan pentadbiran awam. Di samping itu, “kursus dalam perkhidmatan” wajib diberikan kepada mereka tidak kira sama ada mereka dari parti kerajaan atau pembangkang yang memenuhi beberapa aspek asas.

Golongan kedua yang berperanan penting dalam pembangunan bangsa yang berteraskan ilmu ialah golongan guru dan ilmuan. Pandangan masyarakat masa kini terhadap golongan ini adalah lebih rendah berbanding sebelum merdeka dan beberapa tahun selepasnya. Keadaan ini disebabkan oleh dua faktor iaitu nilai masyarakat yang telah berubah daripada nilai yang menghormati ilmuan kepada lebih menghormati kebendaan dan pensekularan peranan guru yang telah disempitkan kepada tugas perkembangan akal dan jasad murid.

Golongan ketiga yang perlu dikembalikan peranan ialah ibu dan bapa di mana golongan ini adalah yang paling heterogen (meliputi berbagai lapisan masyarakat). Perubahan sosial dunia moden memperlihatkan keluarga semakin kurang berperanan sebagai unit pendidikan dan ianya telah diambil alih oleh negara dengan sgala agensinya. Ia adalah kerana ibu bapa terlalu sibuk bekerja di luar rumah dan hubungan keluarga “extended” (datuk nenek atau kaum kerabat tinggal sebumbung atau berdekatan) sudah hampir pupus. Di tambah lagi agensi budaya dan hiburan komersial cuba menarik minat dan penumpuan kanak-kanak dan remaja menghayati nilai yang menjadi dasar perniagaan mereka. Peranan keluarga sebagai unit asas dalam pendidikan harus dikembalikan dan ibu bapa mestilah berperanan sebagai guru dan bukan hanya pemberi makan dan pakai sahaja.

Sistem pendidikan kita sama ada yang formal atau tidak terlalu cenderung ke arah penyediaan tenaga kerja yang lebih produktif. Masyarakat pula amat terdedah kepada nilai luar yang merosakkan melalui media cetak atau elektronik. Akibatnya, generasi akan datang akan membayar dengan harga yang mahal disebabkan kecuaian ini. Sekarang ini pun, golongan muda banyak yang terlibat dengan gejala negatif seperti penagihan dadah dan lain-lain berpunca daripada faktor keluarga yang tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya. Oleh itu, peranan dan kerjasama golongan politik, guru dan ibu bapa amat penting bagi memastikan nilai yang terpancar daripadanya tersebar luas di kalangan masyarakat dan generasi akan datang.

Penulis di dalam buku ini telah memberi cadangan-cadangan untuk mencapai kebahagian sebenar di dunia dan akhirat, membina satu bangsa yang kuat dan mempunyai keupayaan pulih diri. Cadangan-cadangan itu adalah :

1) Sistem nilai dan falsafah pembangunan negara
2) Penghormatan kepada ilmuan dan pendidik
3) Merapatkan cendiakawan dengan masyarakat
4) Pembacaan bermutu
5) Peranan contoh pemimpin
6) Ilmu dalam membuat keputusan
7) Peranan media masa

8) Persediaan bahasa ilmu dan kegiatan terjemahan


Sumber terpilih:http://ulasbuku.wordpress.com/2009/11/30/penjelasan-budaya-ilmu/

Rabu, 16 Jun 2010

Berkhidmat kerana ALLAH

Salam mahabbah kepada semua,

Entah apa mahu di coret kali ini. Hmm... saya tidak berkeinginan untuk bercakap soal 'World Cup FIFA 2010', siapa yang menang dan siapa yang kalah... saya pasti di luar sana riuh rendah dengan sorakan mereka yang berstatuskan diri sebagai penonton/peminat bola.

Hari ini saya tidak ke pejabat, dek kerana kepala yang pening dan terasa 'berat' sangat, melangkah pun sedikit longlai. Bimbang pula saya nak memandu kereta ke tempat kerja. Inilah penangan akibat tidak cukup tidur selama beberapa hari yang lepas, apalah sangat kudrat seorang anak gadis seperti saya ini.

Hari rabu, seperti biasa usrah akan diadakan di pejabat, dan seperti dijadualkan, hari ini merupakan giliran saya untuk melakukan presentasi di hadapan bos dan rakan-rakan sepejabat. Namun, itu semua tidak berlaku hari ini, kata rakan saya di pejabat, bos tamat 'meeting' pun lambat iaitu hampir jam 5.30petang, makanya secara 'automatik' tiada usrah minggu ini. Jangan terlalu gembira yer Cik Imma, anda masih lagi perlu 'present' dan ia dibawa ke minggu hadapan... (^^) huhuhu...

Berada di rumah, saya cuba sedaya upaya untuk menyiapkan kerja dari rumah, nasib baiklah saya membawa pulang beberapa dokumen untuk dirujuk. Alhamdulillah akhirnya siap juga kerja saya, biarpun kepala berdenyut-denyut... Sakit sungguh! Setiap apa yang nak dilakukan, mesti ada satu penyebab yang kukuh yang tersemat di dalam hati, barulah dugaan dan cabaran yang datang tidak mudah goyah dan menukar pendirian kita untuk melakukan sesuatu perkara, betul tak?

Saya ingin meminjam kata-kata Al-Fadhil Ustaz Hassan Shukri (yang baru sahaja kembali ke rahmatullah pada Isnin lepas... Al-fatihah..)

“Percayalah...sesiapa yang memperjuangkan Islam, dia tidak akan susah. mungkin tidak kaya tetapi tidak ada yang susah atau tidak makan...Saya sendiri tidak pernah rasa gaji besar tetapi kehidupan saya tidak susah dan alhamdulillah makin bertambah baik.

“Bagi pejuang Islam, apa jua cabaran dan dugaan akhirnya Allah akan tolong juga dan bantu kita untuk teruskan kehidupan...,” katanya sambil mencebiskan nasihat kepada pemimpin agar sentiasa merapatkan saf antara satu sama lain termasuk dengan golongan bawahan supaya parti akan terus kukuh, disegani dan bertambah kuat di masa mendatang.

wallauhualam.

Isnin, 14 Jun 2010

Baby Girl - Ukht Hawa Tumiran & Akh Husni Boter

Entry ini disalin selengkapnya dan dengan izinnya dari blog kak Fara
***hehe... malas nak buat entry baru... =)

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh..


Pagi tadi, aku, imma, kak kip & b mai ziarah Kak Hawa kat Poliklinik SALAM, Shah Alam. Kak Hawa selamat melahirkan baby girl dengan berat 2.77kg pada hari Sabtu (12 Jun 2010) jam 5.34 petang.

Before sampai kat SALAM tu, merayau-rayau sat, mencari hadiah untuk baby kecik :) miaww miawwwwww.... part ni yang aku sukerrrr sekali.ngeee ngeeee :D

Dan akhirnya...tadaaaaaa....


bantal kepale n bantal pelok untuk si kechik =D


mase parking kat depan SALAM tu, pause jap, karang ayat kat wish-card

..........
ting tong! dah siappp!

naik lif ke tingkat 2, mencari bilik No. 231
Sampai depan bilik, tetibe:
"Kak Fara dah gtau husni ke kite nak datang?"

oppppppsssss......hahaaaa kantoiii :D

cepat-cepat kol husni:
"....err...kami nak datang buleh?" (soklan cover)

"datanglah"

yeaaaaaa!!!!!!!!!!! heheee....
opp opp....tunggu jap kat luar dalam beberapa second, pastu baru ketuk pintu...hahaaaa :D

dah! dah! ape aku ngepek nisssss???!!


ok.dengan baik hatinya, ini gambar baby girl kak hawa & husni yang namanya masih lagi rahsia...kihkih!


susah wooo nak nunggu dia bukak mate..



ok bebeh...siket je lagi mate tu nak celik luas-luas...



oppp...terkatup balik mate dierrr..huhuuu



yeaaaa!!!! bukak dah :D




~ Terima kasih kepada Kak Hawa, Husni & mak Husni kerana sudi menerima kunjungan kami dan melayan kerenah kami yang ntah hape-hape nissss...hehee ~


Kak Hawa discharge tengahari tu, then ke Perak. Berpantang di sana
~ Selamat berpantang ye Kak Hawa. Jangan lupe mai ofis lepas 3 bulan taww...waa waaaa...hahaaa ~

*Credit to Kak Fara yang buat entry ceria yang menceriakan... =D

Rejab Kembali

Pengertian
Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Dan bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah SAW iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj.


Peristiwa Penting
1.Hijrah Pertama Hijrah ke Habsyah (Ethiopia)
Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan istrinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2. Isra' dan Mi'raj
Isra'dan Mi'raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT. Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan pada 17 RabiulAwal; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.

Menurut Chalil, 1999 sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, ada setengah ulama mengatakan pada malam tanggal 7 RabiulAwal. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.

Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama, ada sebahagian yang mengatakan pada tahun ke 5 dari Bi'tsah (tahun mula diutusnya peribadi Nabi), sebahagiannya berpendapat pada tahun ke 12 dari Bi'tsah; sebahagiannya berpendapat pada tahun sebelum Nabi hijrah ke Thaif, sebahagian berpendapat pada tahun ketiga sebelum hijrah Nabi S.A.W ke Madinah dan ada yang sebahagiannya pula berpendapat lain dari semuanya itu. Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya "At-Tobaqatil Qubra", bahawa berlaku israk mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi S.A.W. hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah itu.(Tazkirah, Pusat Zakat N. Sembilan)

3. Perang Tabuk
Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran.

4. Pembebasan Baitul-Muqaddis



Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam Syafie RH.
Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Diantara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.

Amalan
Tiada amalan khusus untuk bulan Rejab yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW yang dijumpai di dalam mana-mana hadis shahih. Penulis berpendapat ada hikmahnya kenapa Allah SWT, Rasulullah SAW dan para sahabat RA tidak memberitahu tarikh dan tahun berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj. Rasulullah SAW tidak mahu umatnya menetapkan ibadat-ibadat tertentu di bulan Rejab khasnya pada hari dan malam berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj itu.

Ini untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang diada-adakan (bid'ah) dan perbuatan membeza-bezakan kemuliaan satu-satu bulan. Namun begitu ada pendapat yang meriwayatkan tentang amalan-amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab. Pendapat ini adalah bersandar kepada hadis-hadis lemah.

Terlalu banyak amalan-amalan sunat yang umum yang masih kita belum berkesempatan untuk mengamalkannya boleh kita praktikkan di bulan Rejab ini sebagai persediaan kita menjelang Ramadhan al-Mubarak. Diantaranya solat malam, qiamul-lail, puasa Isnin dan Khamis, tadarrus al-Qur'an dan lain-lain lagi. Di sini penulis ingin menyarankan agar pada akhir bulan Jamadilakhir khasnya pada 29 Jamadilakhir, kita bolehlah melatih mata kita untuk menjejaki hilal. Proses melatih mata untuk merukyah hilal boleh dimulakan 20 minit sebelum Maghrib sehinggalah 20 minit selepas maghrib dengan memerhatikan ufuk Barat sekitar tempat matahari terbenam. Ini boleh dilakukan dengan mata kasar tanpa menggunakan sebarang alat kecuali untuk melihat matahari perlukan penapis (solar filter).

Bagi mereka yang mempunyai teleskop atau teodolite ataupun binocular, inilah masanya untuk menguji peralatan dan kemahiran masing-masing agar pada hari cerapan hilal Sya'ban, Ramadhan dan Syawal kita tidak menghadapi masaalah dalam melakukan cerapan hilal. Dan sebenarnya Rasulullah SAW sendiri amat mengambil berat tentang kedudukan bulan pada setiap akhir bulan khasnya apabila menjelangnya bulan Rejab dan bulan-bulan seterusnya.

Sumber Disediakan oleh;
Bahagian Falak dan Sumber Maklumat Jabatan Mufti Negeri Melaka

www.al-azim.com

(http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=571)

Ahad, 13 Jun 2010

Program Pendidikan bil 1 / 2010

Salam mahabbah...

Hmm... masuk hari ni... dah 5 hari saya batuk tak henti-henti... nak batuk serba salah, takut menggangu orang di sekeliling, tak batuk pula... sakit untuk ditahan... bila batuk... di bahagian perut rasa dipijak-pijak... sakitnye... bukan main... banyaknye dosa saya... pada ALLAH jua manusia. Syukur terasa diri masih dipandang ALLAH... sakit ini nikmat jika tahu erti sebenarnya sakit. =)

Ingin saya kongsikan sedikit program-program yang telah berlangsung...pada:

4,5,6/6/2010
Jambori Amal Islami MAPPIS 2010
Anjuran: Kerajaan Negeri Selangor(Pakatan Rakyat) dengan kerjasama MAPPIS dan Unisel

Program ini merupakan suatu program yang disertai oleh sekolah-sekolah agama rakyat (bukan di bawah naungan JAIS). Sekolah-sekolah ini didaftarkan di bawah Majlis Pemuafakatan Pendidikan Islam selangor iaitu di bawah pentadbiran kerajaan Negeri Selangor khusus di bawah Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.

Sebanyak 18 buah sekolah berkampung di Unisel Bestari Jaya. Pelbagai Pertandingan diadakan seperti bola sepak, bola jaring, pingpong, badminton, berkhutbah, bercerita, pidato, nasyid, azan, hafazan, dan lain-lain...

Apa yang dapat saya gambarkan pada anda semua... saya cukup tersentuh dengan akhlak yang ditunjuk oleh adik-adik daripada sekolah agama ini, memang banyak kelemahan sepanjang berlangsung program tersebut, namun sedikit pun saya tidak dengar sebarang rungutan daripada peserta (adik-adik), sampai satu tahap saya malu untuk berdepan dengan mereka... MasyaALLAh hebat tarbiyyah daripada sekolah agama rakyat. Patutlah, begitu banyak permintaan di kalangan ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka dimasukkan ke sekolah agama...

Pertandingan Azan

Pertandingan Berkhutbah (bukan baca khutbah)

Bertemakan "Ruhbanun Fillail wa Fursanun Finnahar" bermaksud "Rahib di malam hari dan Singa di Siang Hari"... acara-acara yang di susun 3 hari 2 malam itu, bertepatan dengan tema program tersebut... Malamnya pertandingan amal islami dan siangnya acara sukan diadakan. MasyaALLAH... hebat... saya bukanlah dari sekolah agama, makanya saya menjadi cukup teruja apabila melihat persembahan adik-adik ini bukan calang-calang... boleh lawan dengan sekolah lain di luar sana... (yang mendapat pelbagai kemudahan).

Kepada anda yang tidak tahu atau ada yang tak berkesempatan berkunjung ke program tersebut, insyaALLAH nantikan Jambori Amal Islami MAPPIS 2011 ye.


Pertandingan Pidato

***Pengasingan tempat pertandingan antara lelaki dan perempuan


Alhamdulillah, pada 8hb malam Imma berangkat pulang ke Kampung halaman, niat hati untuk ziarah ibu dan ayah, adik beradik, sambil memeriahkan kenduri sahabat-sahabat yang melangsungkan perkahwinan.

9/6/2010
6.00 pagi
Selamat tiba di Kelantan... rindunya Ya ALLAH... banyak sangat perubahan di kampung laman... hmmm... begini lah di Kelantan, jauh berbeza di Selangor... (bisik hati)... Namun saya tetap bersyukur tinggal di kelantan, auranya berlainan benar dengan berada di Selangor.

9.00 pagi
Dari Machang bertolak ke SUK Kelantan. Pertemuan Exco Pendidikan Negeri Pakatan Rakyat. Walaupun hanya Kelantan dan Selangor sahaja yang berkelapangan untuk bertemu namun pelbagai perbincangan dapat dilakukan.

"Demo tak polaa bulih wak konvensyen besar-besar, jeput ore international mari... kito tak dok pitih..." kata YB Dato' Nik Amar, Exco Pendidikan Negeri Kelantan kepada Exco Pendidikan Negeri Selangor. Tersenyum seketika saya... saya memahami situasi di Kelantan. Ingin sahaja saya berkongsi pada semua isi pertemuan itu... pada saya rakyat di Negeri Selangor sangat-sangat beruntung dan HARUS bersyukur dengan apa yang ada di SELANGOR... di Kelantan cuma ala kadar tetapi rakyatnya tetap hidup seperti rakyat di Negeri lain. Saya tidak mahu menghuraikan dengan lebih panjang, kerana pada saya, anda sendiri boleh lihat perbezaannya... syukur sangat saya dibesarkan di Kelantan, di bawah pemerintahan Tok Guru Nik Aziz. Di Selangor juga tidak kurang hebatnya, dan kedua-dua negeri ini perlu saling bekerjasama untuk 'topup each other'... masing-masing ada lebih dan kurangnya. Syukur juga saya peroleh pekerjaan di Selangor, dapat melihat dengan jelas pembangunan di Selangor. Alhamdulillah, syukur sangat kerana diri ini terpilih untuk berada di dalam pertemuan yang cukup-cukup bermakna itu.

bergambar kenangan