Pages

Rabu, 23 November 2011

Risiko Kanser Perokok Pasif



APAKAH perasaan anda bila doktor memberitahu bahawa anda disahkan menghidap kanser paru-paru? Tambah memeritkan, kanser paru-paru anda kini berada di tahap empat - peringkat akhir di mana sel kanser dari tempat asal tumor telah merebak ke bahagian lain badan.

Mungkin ia sesuatu yang tidak menghairankan sekira anda adalah seorang perokok tegar. Penyakit berkenaan sememangnya dikenalpasti mudah dihidapi oleh mereka yang gemar merokok.

Namun, bagi mereka yang tidak merokok atau daripada komuniti perokok pasif, ia sesuatu yang agak mengejutkan.

Itulah yang dialami oleh Goh Sai Wah yang tidak pernah merokok seumur hidupnya. Namun, wanita berusia 58 tahun itu begitu terperanjat bila dikesan menghidap penyakit itu di tahap empat pada tahun lepas.



"Kanser paru-paru selalunya dihidapi oleh orang yang suka merokok. Tetapi, ini tidak bermakna mereka yang tidak merokok boleh selamat daripada penyakit ini (kanser paru-paru)," kata Pengarah Perubatan Pusat Perubatan Antarabangsa Mahameru, Dr. Beh Chor Khim kepada Bernama baru-baru ini.

Tidak kenal siapa

Ia adalah antara punca utama kematian dalam kalangan penduduk di seluruh dunia, dianggarkan 221,130 kes baru kanser paru-paru setiap tahun dengan angka kematian 156,940 di Amerika Syarikat pada tahun ini mengikut laman sesawang http://www.cancer.gov.

Manakala, statistik di negara ini pula menunjukkan penyakit berkenaan menjadi kanser yang paling kerap berlaku dan menyebabkan jumlah kematian paling ramai kira-kira 12 peratus daripada kesemua penyakit kanser dalam negara.

Ini berdasarkan maklumat yang dipetik daripada www.infosihat.gov.my.

Ini jelas menunjukkan penyakit ini tidak boleh dipandang ringan termasuklah bagi golongan perokok pasif.

Biarpun tidak merokok, tetapi kebarangkalian mereka mendapat penyakit berkenaan tidak dapat dinafikan terutama bagi individu yang tinggal di kawasan yang mempunyai tahap kualiti udara yang rendah.

Malah, dipetik dalam satu sumber berita individu berkenaan dilihat 20 peratus lebih berisiko diserang penyakit kanser paru-paru berbanding mereka yang tinggal di kawasan udara bersih.

Ini dapat dilihat apabila dianggarkan 3,000 kematian akibat kanser paru-paru dalam kalangan perokok pasif berlaku setiap tahun di Amerika Syarikat.

Senario ini jelas menunjukkan kanser paru-paru yang secara amnya terbahagi kepada dua jenis utama, kanser sel kecil paru-paru dan kanser sel bukan-kecil paru-paru, berupaya menyerang sesiapa sahaja.

Mengakui tabiat merokok sebagai faktor utama, Dr. Beh berkata pencemaran alam sekitar turut menyumbang kepada risiko penyakit berkenaan.

Ini kerana, mereka yang terhidu asap yang mengandungi asbestos (satu daripada enam mineral silikat digunakan secara komersial kerana ciri fizikalnya) menghadapi risiko yang lebih tinggi mendapat kanser paru-paru dan ia dikenali sebagai mesothelioma.

Selain asbestos, individu yang terdedah kepada persekitaran radon (gas radioaktif) juga berisiko mendapat serangan penyakit berkenaan.

Di samping itu, Dr. Beh berkata mereka yang lahir dari keluarga yang pernah menghidap penyakit berkenaan turut mempunyai risiko mendapat kanser paru-paru.

"Terdapat kemungkinan sebanyak 30 peratus golongan yang tidak merokok mempunyai risiko untuk mendapat kanser paru-paru.

"Antara faktornya adalah seperti tekanan, cara pemakanan yang tidak sihat, penyakit jangkitan virus serta mereka yang terdedah kepada kesan radiasi," katanya.

Gejala

Mengakui agak sukar mengesan kanser paru-paru dengan lebih awal, kata Dr. Beh, kebanyakan yang datang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan selalunya berada di tahap empat .

Bagaimanapun, seseorang itu boleh mengambil langkah pencegahan awal dengan melakukan pemeriksaan kesihatan komprehensif apabila mengalami batuk berpanjangan, kesesakan nafas, sakit dada, belakang, bahu, bengkak muka dan suara garau.

Tidak sekadar itu, gejala seperti sakit tulang, lemah atau kebas di kawasan tangan dan kaki, hilang selera makan, penurunan berat badan, lemah dan kekurangan tenaga juga perlu diambil perhatian.

Atas faktor itu, Dr. Beh menegaskan pemeriksaan kesihatan secara komprehensif amat penting dan bukan sekadar bergantung kepada ujian darah sahaja.

"Ujian darah sahaja tidak berkesan untuk mengesan sel-sel kanser. Disebabkan itu, perlu ada pemeriksaan menyeluruh seperti x-ray, ataupun menggunakan kaedah endoskopi untuk memeriksa bahagian dalam tubuh seseorang.

"Goh menjalani pemeriksaan darah secara rutin yang menunjukkan peningkatan petunjuk kanser dan beliau membuat keputusan menjalani PET CT yang menunjukkan beliau mengalami kanser pada peringkat empat," kata Dr. Beh.

Dr. Beh juga berkata, adalah lebih baik bagi seseorang individu itu melakukan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh sekali bagi setiap tiga tahun apabila umur mereka menjangkaui 40 tahun.

Bila berada di tahap empat, selalunya dikatakan sudah terlambat untuk merawat kanser paru-paru.

Bagaimanapun, keadaan Goh berubah apabila wanita ini menjalani terapi Human Initiated Therapeutic Vaccine (HITV) di Jepun tahun lepas.

"Saya diberitahu tentang terapi HITV melalui Dr. Beh, dan kami pergi ke Tokyo untuk mencubanya," cerita Goh

Mengulas mengenai rawatan ini, Dr. Beh berkata, keputusan yang diperoleh amat mengejutkan apabila mendapat tahu bahawa kesemua sel kanser dalam badan wanita itu telah hilang.

— BERNAMA

Tiada ulasan: