Pages

Rabu, 1 September 2010

Choose! oleh Diefly

Aku masih teringatkan kata-kata mentor aku, ketika dia membuat ulasan berkaitan dengan buku Usul 20 dari Hassan Al-Banna. Antaranya berkaitan dengan kepercayaan dengan jampi. Pada asas ke 4 dalam usul 20 menerangkan Jampi, mentera, mengaku mengetahui perkara ghaib dan seumpamanya adalah kemungkaran yang wajib diperangi, kecuali jampi-jampi dari ayat Al- Quran atau jampi-jampi yang diterima dari Rasulullah (s.a.w). Dan dia memberikan satu contoh, isu kanak-kanak menangis tak berhenti-henti, lalu kalau dipakaikan tangkal tertentu kanak-kanak itu berhenti menangis. Dan andai tangkal itu dicabut, kanak-kanak tersebut kembali menangis. So what we should do? Percayakan tangkal atau biarkan saja kanak-kanak itu menangis?


Dalam hidup ini kita sentiasa dibentangkan dengan pilihan, dan kita akan membuat pilihan berdasarkan beberapa sebab. Akal, pengalaman, kefahaman, nafsu dan iman akan menjadi neraca siapa kita. Setiap pilihan dalam hidup menggambarkan pendirian kita, menggambarkan siapa diri kita, menggambarkan ke mana arah kita.


Tengahari tadi aku menemani abah dan mama aku ke majlis kahwin anak kawan abah dan mama aku yang sama-sama tinggal sebilik ketika di Mekah dulu. Dia mengetahui yang aku masih belum kahwin, dan dia menceritakan tentang keluarganya yang kebanyakannya berkahwin awal. Bagaimana pengalaman dia sendiri kahwin pada usia 22 tahun dan ketika itu isterinya berumur 21 tahun, begitu juga terjadi kepada anaknya hari ini. Aku ketika itu sedang asyik mendengar lagu-lagu nyanyian Amar yang dipasang sebagai memeriahkan suasana majlis kenduri, tanpa menghiraukan bualan antara abah aku dan kawannya. Sampai waktu nak pulang ketika aku bersalaman dengan kawan abah aku tersebut, dia membisikkan pada aku, “Pakcik mendoakan jodoh kamu”. Aku agak terkejut, kerana kebanyakan orang yang aku jumpa sebelum ini kebanyakannya suka perli dan memperendah-rendahkan status aku ketika ini.


Apa yang aku nak kongsi di sini adalah kita punyai pilihan, andai kita lihat seseorang itu terjatuh, apakah tindakan kita? Mahu menolongnya? Atau mahu mentertawakannya? Orang kita punyai jalan mudah tanpa mengetahui situasi sebenar mereka telah awal-awal membuat perkiraan mereka sendiri tanpa melihat dunia ini dengan optimis. Kita akan merasa, apabila situasi tersebut terkena pada kita sendiri, baru ketika itu kita mahu sedar.

Mengapa ada nabi berdoa sampai tua untuk dapatkan hanya seorang anak, sedangkan berapa ramai remaja yang membuang anak-anak mereka di merata-rata tempat hasil dari hubungan haram mereka? Mengapa mereka yang hidup bergelumang dengan dosa, Allah bagi anak kepada mereka? Sedangkan anak-anak tersebut bakal terbiar tanpa didikan agama yang sempurna dan atau akan dibuang begitu sahaja. Hinakah mereka yang berdoa dan terus berdoa kepada Allah tanpa jemu untuk mendapat apa yang mereka inginkan, tetapi Allah tidak kurniakannya? Berbanding dengan manusia yang mendapat sesuatu tanpa berdoa kepada Allah, tetapi disia-siakan pemberian itu?


“Akan diKau kami sembah dan hanya kepadaMu kami minta pertolongan”. (S1:5)


Walauapapun yang kita pilih dalam hidup ini, walaupapun yang kita lalui dalam hidup ini berjalanlah terus, tanpa henti. Terima sahaja dengan redha segala peranan di dalam dunia yang dikurniakan. Cukup hanya Allah berada di sisi, tempat mengadu & mengeluh.


Hidup ini adalah sebuah perjalanan, mencari yang hakiki, mencari keabadian. Tiada siapa yang dapat menentukan nasib mereka sendiri, tiada siapa yang mampu mengubah takdir dan suratan. Pengalaman yang bertandang memberi kematangan, menguji keimanan, mendamba kesetiaan, menuntut pengorbanan. Mencari semangat untuk kembali mencari… Demi sebuah janji (diefly).


#mendapat kiriman email daripada seorang sahabat.

Tiada ulasan: