Pages

Khamis, 24 Jun 2010

CERAPAN GERHANA BULAN SEPARA - AYUH ke MASJID SSAAS

Fenomena Gerhana Bulan Separa
Gerhana Bulan Separa pada 26 Jun 2010 (Sabtu) ini akan bermula dengan fasa penumbra (P1) pada jam 04.57 p.m waktu Malaysia. Walaubagaimanapun, semasa fasa penumbra ini berlaku, kesan penampakan gerhana masih tidak dapat diperhatikan memandangkan Bulan merentasi bayang penumbra Bumi yang kurang gelap dan kebetulan juga pada waktu itu Bulan masih belum terbit lagi dari ufuk.

Fenomena tersebut hanya dapat disaksikan apabila bulan mulai terbit pada jam 7.22 p.m dan bulan telah pun memasuki bayang umbra Bumi (U1) sejak jam 6.17 p.m lagi. Gerhana maksimum akan berlaku pada jam 7.38 p.m. Fenomena ini akan dapat disaksikan sehingga jam 9.00 p.m apabila Bulan keluar sepenuhnya dari umbra Bumi (U4).

Gerhana masih terus berlaku sehingga 10.20 p.m tetapi fenomena tersebut tidak dapat disaksikan pada waktu itu kerana Bulan berada di kawasan bayang penumbra Bumi yang kurang gelap.

Sehubungan itu, Jabatan Mufti Negeri Selangor dengan kerjasama Persatuan Falak Selangor dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam akan mengadakan Program Cerapan Gerhana Bulan Separa dan Solat Sunat Gerhana Bulan bertempat di Dataran Letak Kereta Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bermula jam 7.00 p.m sehingga jam 10.00 p.m. Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi menunai solat sunat gerhana dan menyaksikan fenomena gerhana tersebut.

Sumber: www.selangor.gov.my

Tiada ulasan: