Pages

Rabu, 5 Mei 2010

Kerajaan perlu prihatin isu sekolah agama

Kerajaan perlu prihatin isu sekolah agama

KLANG - Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelajaran diminta memberi perhatian kepada keperluan Sekolah Agama Menengah (SAM) di bawah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebelum berhajat mengambil alih Sekolah Rendah Agama (SRA) di bawah tadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (MPPIBG), Misswadi Sarbini berkata, perhatian serius terhadap sekolah di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat harus dipantau dari segi kemudahan bangunan dan infrastruktur.

“Tindakan sedemikian perlu bagi memberi kemudahan kepada pelajar dan kakitangan sekolah yang dikatakan masih tidak mampu menampung jumlah kemasukan pelajar yang ramai.

“Tambahan pula, mengikut perangkaan tahun ini, seramai 25,653 pelajar yang memohon untuk memasuki tingkatan satu di SABK, namun hanya 3920 sahaja yang layak mendapat tempat,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan yang memohon adalah dalam kalangan pelajar yang cemerlang, namun tempat yang terhad menjadi faktor utama menghantui SABK.

“Permintaan yang tinggi daripada masyarakat terhadap SABK menggalakkan, namun rata-rata ibu bapa kecewa kerana sekolah itu tidak mampu menyediakan tempat yang banyak.

“Walaupun begitu, kita tidak menghalang Kerajaan Pusat mengambil alih SRA, namun mereka harus menaiktarafkan SABK terlebih dahulu agar SRA kelak mendapat kemudahan yang setimpal,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MPPIBG, Hashim Maon berkata, pihaknya menyokong sekiranya kerajaan Persekutuan berminat untuk membangunkan SABK seterusnya SRA.

“Hal ini kerana, prasarana dan kemudahan yang ada pada 23 SABK di Selangor masih belum sempurna dan lengkap.

“Oleh itu, kita minta kerajaan menaiktarafkan kesemua sekolah agar dapat membantu pelajar menimba ilmu dengan lebih selesa dan terjamin,” katanya.

Beliau berkata, sebagai badan bukan kerajaan (NGO), MPPIBG berperanan besar dalam mengumpul dana membantu pelajar yang serba kekurangan.

“Kita tidak mahu berlaku percanggahan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri demi kebaikan semua pihak.

“Malah, sikap berkompromi dan kerjasama amat digalakkan agar dapat melancarkan urusan semua pihak,” katanya.

“Jangan ada sekatan terhadap Kerajaan Negeri untuk bersama membantu dan memasuki SAM di bawah SBK demi kebaikan pelajar dan PIBG,” katanya.

Pada 30 April lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu mohon perkenan Sultan Selangor agar SAM Selangor yang belum berdaftar dapat didaftarkan sebagai SABK serta diletakkan sebaris sekolah lain dalam sistem pendidikan arus perdana ketika majlis perasmian Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin.

Sumber: Sinar harian edisi Selangor

Tiada ulasan: