Pages

Selasa, 8 Disember 2009

Terpaku di Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Selangor

Alhamdulillah... alhamdulillah... alhamdulillah... Imma rasa bertuah sangat-sangat sebab telah terpilih (oleh ALLAH) untuk menghadiri Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Selangor.

Konvesyen Pendidikan Islam Negeri Selangor 2009 adalah dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor dibawah seliaan MAPPIS. Konvensyen ini telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Bin Ibrahim yang bertemakan MEMARTABATKAN PENDIDIKAN ISLAM BERLANDASKAN AL-QURAN & AS-SUNNAH.

Setelah selesai perasmian dilakukan, hadirin dihidangkan dengan tayangan montaj pelancaran MAPPIS (Majlis Permuafakatan Pendidikan Islam Selangor) yang bervisikan, ‘Memartabatkan Pendidikan Islam dan Memperkasakan Pendidikan di Negeri Selangor’ di bawah pentadbiran Exco Pendidikan Negeri Selangor. Seterusnya ucaptama oleh Prof. Madya Dr Halim Tamuri, dari Fakulti Pendidikan UKM dan diikuti pula perbentangan kertas kerja “Perlaksanaan Sistem Pendidikan Islam (Pengalaman Di Negeri Kelantan)” oleh Timbalan Pengarah (Sekolah) Yayasan Islam Kelantan iaitu Haji Mohamed bin Ya.

Sidikit perkongsian daripada saya mengenai ucaptama Prof. Madya Dr. Halim Tamuri dan Perbentangan Kertas Kerja “Perlaksanaan Sistem Pendidikan Islam di Kelantan”


Ucaptama oleh Pro. Madya Dr Halim Tamuri, dari Fakulti Pendidikan UKM

Matlamat utama sistem pendidikan Islam ialah untuk memberikan kemahiran, pengetahuan dan membangunkan insan yang bertaqwa kepada ALLAH swt. Dalam dunia pendidikan kini, sekolah dan guru mempunyai peranan yang sangat penting kerana mereka telah mengambil alih sebahagian besar tugas keluarga untuk mendidik generasi muda. Dengan perkataan lain, perkembangan kemajuan teknologi dan complexity masyarakat global tanpa sempadan yang mengejar kemewahan kebendaan , tugas pendidikan kini hamper diserahkan sepenuhnya kepada institusi formal, khususnya sekolah. Maka pendidikan pada masa sekarang sering dikaitkan dengan sekolah dan sekolah pula telah menjadi satu tempat untuk mendapatkan maklumat dan memberikan kemahiran. Hakikatnya, sekolah bukan sahaja satu tempat untuk memberikan pengetahuan kepada pelajar semata, tetapi dalam pembanguan moral dan social, yang mana di dalam masyarakat tradisional, tugas ini adalah tangungjawab ibubapa. Maka, tugas guru pendidikan kini menjadi semakin signifikan dalam usaha membangunkan sesuatu masyarakat dan tidak hanya berfokus kepada pemindahan maklumat tetapi juga yang berkaitan dengan aspek pembangunan insan itu sendiri.



Saya cukup bersetuju dengan apa yang disampaikan oleh Prof. Madya, sesungguhnya realiti kehidupan hari ini semakin hari semakin berhadapan dengan cabaran yang sukar untuk diduga. Terutamanya dalam membentuk institusi kekeluargaan yang cemerlang darisegi duniawi juga ukhrowi. Anak-anak yang begitu mudah menerima maklumat dari pelbagai saluran terutamanya internet yang sememangnya kita tahu ia tiada sempadan, siapa jamin mereka tidak mudah terpengaruh dengan gambar-gambar/video lucah atau hiburan melampau? Permainan atau game yang mempunyai pelbagai versi juga keseronokkan yang tersendiri membuatkan anak-anak zaman cyber kini mudah menghadamnya berbanding menghadam bacaan al-Quran itu sendiri. Prof. turut mendedahkan perbezaan anak-anak pada zaman dahulu dan sekarang. Ya! Saya setuju kita tidak boleh membandingkan dahulu dan sekrang kerana peredaran masa itu berlaku dan juga proses pembangunan yang terjadi tidak sama dulu dan sekarang. Namun, saya cukup terkilan dengan kemahiran kita dalam membentuk sesuatu institusi kekeluargaa itu. Perlukah kita mengikut arus pemodenan 200% tanpa mengambil kira 1% kebaikan amalan yang dilakukan oleh zaman nenek moyang kita? Kenapa masih ada keluarga yang boleh Berjaya sedangkan ada yang tidak Berjaya membentuk keluarga yang harmoni dan cemerlang dari segala sudut? Kita berbalik kepada pesan Sang Teladan, pesuruh ALLAH:


Daripada Abi Najih ‘Irbadh bin Sariyah r.a berkata : Telah menasihati kami oleh Rasulullah s.a.w akan suatu nasihat yang mengetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata : Ya, Rasulullah! seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami. Lalu baginda bersabda : “Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar-Rasyidin Al-Mahdiyyin (Khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat petunjuk ke jalan lurus) dan gigitlah (berpegang teguh) sunnah-sunnnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya setiap bid’ah itu adalah sesat.”
- Riwayat Abu Daud dan Tirmizi



Pada hari ini sekolah swasta wujud bagai cendawan yang tumbuh di pagi hari, berlambak-lambak! Terutama di Bandar-bandar metropolitan seperti Kuala Lumpur dan Selangor. Kenapa ia wujud? Saya pernah berbual dengan seorang pengusaha sekolah swasta di Bandar TTDI Jaya Shah Alam, kata beliau Ibubapa di Bandar kebanyakannya bekerja dan masa bersama anak-anak sungguh tidak mencukupi. Apa yang dilakukan oleh mereka adalah menghantar anak-anak ke sekolah swasta di mana sekolah swasta menawarkan perkhidmatan menjaga kanak-kanak selepas waktu sekolah. Pendek kata, Ibubapa akan meninggalkan anak-anak mereka di awal pagi dan lewat petang barulah bertemu semula dengan anak masing-masing. Saya mencelah, bukankah mereka mampu untuk mengupah pembantu rumah (berikutan kawasan di TTDI Jaya adalah kawasan perumahan golongan berada), tambahnya pembantu rumah juga tidak boleh dipercayai disebabkan timbul pelbagai kes yang telah terjadi sebelum ini. Ibu bapa menjadi fobia untuk mengambil pembantu rumah, dan mereka lebih mempercayai sekolah untuk menjaga anak-anak mereka walaupun terpaksa membayar dengan harga yang tinggi. (Hati saya bagaikan ingin menangis mendengar kata-katanya, terbit rasa sayu dan kesihan kepada anak-anak yang memerlukan belaian dan perhatian ibu dan bapa mereka tetapi diserahkan kepada mereka yang diupah. Saya tidak menyalahkan ibubapa sepenuhnya… masih kecih sudah terpisah dengan Ibubapa. Saya cepat-cepat positif, bila memikirkan mungkin anak-anak ini akan cepat matang dan boleh berdikari di awal usia.)



Dalam ucaptamanya, Prof turut menjelaskan Penilaian Terdalam Pelaksanaan Sistem Pendidikan Islam.


a) Pendidikan Islam sebagai ‘mata pelajaran’


b) Pendidikan Islam sebagai satu ‘sistem’



Seterusnya, Memartabatkan Sistem Pendidikan Islam, di mana beliau turut mengambil contoh kata al-Marhum Prof. Dr. Syed Ali Ashraf. Telah menjelaskan bahawa pendidikan mestilah diasaskan kepada konsep tauhid yang menjadi teras kehidupan setiap orang Islam yang tidak memisahkan antara agama dan kehidupan seharian dan melaksanakan tugasnya sebagai khalifatullah. Sehubungan dengan itu, al-Marhum telah menghuraikan pendidikan sebagaimana berikut:



Education is the therefore defined as the process through which balanced growth of the total personality of human being is achieved. According to Islam the end to be aimed at is the attainment of the status of a true representative of God on the earth (Khalifatullah)



Kesimpulannya, pendidikan dalam Islam adalah bertujuan melahirkan khalifatullah yang mempunyai perkembangan yang seimbang. Kesimbangan pembangunan manusia ini perlu berasaskan kepada aspek kerohanian agar manusia yang dididik tersebut patuh dan taat kepada hukum hakam yang telah disyariatkan oleh ALLAH. Jelas kepada kita hala tuju pendidikan Islam adalah kearah pembangunan yang seimbang dan disepadukan dengan keimanan kepada ALLAH s.w.t. akan dapat melahirkan manusia yang benar-benar bertangungjawab sebagai khalifatullah.



P/s: Imma akan update perbentangan kertas kerja “Perlaksanaan Sistem Pendidikan Islam (Pengalaman Di Negeri Kelantan)” oleh Timbalan Pengarah (Sekolah) Yayasan Islam Kelantan iaitu Haji Mohamed bin Ya. InsyaALLAH. Doakan Imma diberi kelapangan masa. =)


(Gambar-gambar menarik sepanjang program akan Imma upload lagi)

Tiada ulasan: